Ewon kunjungi Asrama Avasi Kanibongan, sediakan peruntukan RM50,000 biayai operasi

PITAS: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mengunjungi Asrama Avasi Kanibongan dan bersetuju menyediakan peruntukan RM50,000 bagi membiayai operasi asrama itu.

Ewon berharap, sumbangan itu dapat membantu mengurangkan bebanan kewangan pihak pengurusan Asrama Avasi yang menempatkan seramai 31 pelajar.

“Saya bersetuju menggunakan peruntukan khas menteri untuk disalurkan kepada Asrama Avasi Kanibongan kerana saya difahamkan sumber kewangan pengurusan asrama hanya daripada yuran pelajar dan sumbangan daripada guru-guru sekolah SMK Kanibongan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas lawatan ke Asrama Avasi Kanibongan di Kg.Pantai, di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Kudat Dato’ Verdon Bahanda turut mengumumkan geran tahunan sebanyak RM10,000 untuk membantu pihak pengurusan asrama.

Sementara itu Pengurus Asrama Avasi Jainis Sugumboy merakamkan ucapan terima kasih kepada Ewon dan Verdon atas keprihatinan menyediakan peruntukan menambah sumber kewangan pihak pengurusan asrama.

“Bagi pihak pengurusan asrama, saya amat menghargai peruntukan seperti yang diumumkan oleh Datuk Ewon dan Datuk Verdon,” katanya.

Beliau berkata, Asrama Avasi yang diaumbangkan oleh Perbadanan Pinjaman Sabah siap sepenuhnya pada tahun 2020 namun hanya dihuni oleh pelajar awal tahun lalu ekoran pandemik Covid-19.

“Asrama ini boleh memuatkan seramai 48 pelajar namun setakat ini kami hanya mampu menempatkan 31 pelajar kerana masalah kos operasi,” katanya dan menambah yuran pelajar RM100 sebulan.

Objektif penubuhan asrama ini adalah untuk membantu para pelajar khususnya pelajar SMK Kanibongan yang tidak berjaya masuk asrama kerajaan.