Ewon alu-alukan komitmen Ketua Menteri bagi meningkatkan hasil Sabah

KOTA KINABALU : Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah Datuk Ewon Benedick mengalu-alukan komitmen Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor untuk meningkatkan hasil dalam negeri Sabah.

Ewon merupakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, beliau bersedia bekerjasama dengan pimpinan Sabah dalam usaha meningkatkan lagi kutipan Hasil Kerajaan Sabah.

“Saya percaya kenyataan Ketua Menteri itu adalah berasaskan pencapaian dalam dua tahun ini.

“Sememangnya hasil kerajaan Sabah telah meningkat dan PH Sabah berbangga menjadi sebahagian daripada pimpinan yang menyumbang kepada peningkatan hasil negeri.

“Antaranya pemberian khas dibawah Perkara 112D di mana kita telah meningkatkan interim pembayaran daripada RM306 juta kepada RM600 juta bermula pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina dihoskan Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Datuk Phoong Jin Zhe, kepimpinan DAP Sabah.

Ewon merupakan Peresiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) diminta mengulas kenyataan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, baru-baru ini yang menyatakan bahawa kutipan hasil negeri akan mencapai lebih RM8 bilion dalam tempoh tiga tahun lagi, jika Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Pakatan Harapan (PH) Plus diberi mandat sekali lagi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Mengenai majlis itu, Ewon berkata kebersamaan dalam sambutan Tahun Baharu Cina yang dihadiri pelbagai lapisan masyarakat akan terus menyemarakkan lagi perpaduan yang sedia terjalin di kalangan rakyat negara ini.

“Semoga kepimpinan DAP Sabah terus cemerlang memperjuangkan pembangunan rakyat dan negara,” katanya.