ESSCOM tahan 33 PATI dalam operasi bersepadu di Tawau

TAWAU : Seramai 33 individu dipercayai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan dalam satu operasi bersepadu dijalankan selama dua hari bermula 27 Jun lalu.

Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) Komander Datuk Victor Sanjos berkata, 33 individu ditahan atas kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut.

Katanya, dua individu turut ditahan bahagian siasatan jenayah narkotik daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau selain merampas 5.53 gram dadah jenis methamphetamine.

“Siasatan lanjut di bawah Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Tawau Sabah turut menahan seorang individu selepas menyalahi syarat lesen di bawah Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) kemudian kes diserahkan kepada pihak JPDS untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Victor berkata, operasi dijalankan sekitar kawasan Jeti Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Lama di Bandar Tawau disertai beberapa jabatan dan agensi penguatkuasa keselamatan yang lain.

Sementara itu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau turut menahan seorang individu serta merampas 160 liter minyak diesel bersubsidi termasuk sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Dalam operasi sama katanya, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) juga turut menahan seorang individu dan merampas sebanyak 12 liter minuman keras tempatan di bawah Akta Kastam 1967.

“Jumlah anggaran nilai rampasan oleh KPDN dan JKDM ialah sebanyak RM 11,165.50,” katanya.