TAMBUNAN : Enakmen Mahkamah Anak Negeri Sabah 1992 akan digantikan dengan versi baharu bagi menyusun semula struktur Mahkamah Anak Negeri serta memperkasakan institusi tersebut,
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, kerajaan sedang beeysaha untuk memastikan Mahkamah Anak Negeri lebih berkesan serta relevan pada masa depan.
Katanya, Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah menyediakan draf enakmen baharu tersebut, iaitu Enakmen Mahkamah Anak Negeri Sabah 2025 kini sedang diperhalusi Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan.
“Draf ini memerlukan input daripada Jabatan Peguam Besar Negeri, Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri dan Kementerian Kewangan sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri Negeri dan seterusnya ke Dewan Undangan Negeri.
“Ia adalah antara pelbagai inisiatif yang sedang diambil oleh Kerajaan Negeri untuk memberi manfaat kepada rakyat di peringkat akar umbi,” katanya di sini hari ini.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) komited untuk meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) hasil pertanian demi memperkukuh sekuriti makanan di Sabah.
“Ketika ini, SSL Sabah hanya berada pada paras 22.8 peratus dan negeri ini masih bergantung kepada makanan import. kerajaan Negeri mengambil keputusan mengaktifkan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) tahun lalu membangunkan kira-kira 22,146 hektar sawah terbiar di daerah Tuaran, Kota Belud, Kota Marudu, Keningau, Papar dan Tambunan.
“Usaha ini pasti akan membantu MAFFI mencapai sasaran SSL makanan Sabah kepada sekurang-kurangnya 30 peratus menjelang tahun 2026 dan 60 peratus menjelang tahun 2030,” jelas Hajiji.
Mengulas mengenai Program Revolusi Ekonomi Pertanian Luar Bandar (REPLB) yang dilancarkan pada Rabu (30 April), Ketua Menteri berkata ia selari dengan semangat Pesta Kaamatan dan mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap golongan berpendapatan rendah, khususnya golongan miskin dan miskin tegar di kawasan luar bandar.
Program ini dilancarkan sebagai langkah strategik untuk meningkatkan pengeluaran pertanian bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi petani sara diri.
“Ia bukan sahaja bertujuan meningkatkan hasil pertanian dan sekuriti makanan di Sabah secara khusus dan Malaysia secara amnya, malah bertujuan meningkatkan taraf ekonomi masyarakat luar bandar, memperkasa petani, nelayan dan agropreneuer supaya mereka dapat berdikari, berinovasi dan menjana pendapatan secara mampan.
“Melalui penggunaan teknologi moden, sistem sokongan rantaian bekalan dan pembukaan peluang pasaran baharu, program ini membuka jalan kepada komuniti luar bandar untuk bangkit sebagai pemain utama dalam ekonomi Sabah,” katanya.
Lebih penting lagi, Hajiji berkata pembangunan ekonomi luar bandar turut menjadi pemangkin kepada perpaduan dan kestabilan sosial.
“Apabila pendapatan meningkat, peluang pekerjaan terhasil dan anak muda kembali ke kampung dengan ilmu dan harapan, maka komuniti akan menjadi lebih kukuh, bersatu dan makmur. Saya berharap program ini dapat membantu komuniti petani, terutama di luar bandar,” katanya.
Ketua Menteri berkata, sambutan Pesta Kaamatan adalah antara acara penting bagi rakyat Sabah yang bukan sahaja bertujuan mengeratkan hubungan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama, tetapi juga sebagai tanda kesyukuran atas hasil tuaian yang baik.
“Lebih daripada itu, Kaamatan mencerminkan keharmonian dan semangat muhibah rakyat Sabah, selari dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan nilai-nilai kemanusiaan, saling menghormati dan kebersamaan,” katanya.
Ketua Menteri berkata, tema Pesta Kaamatan tahun ini – Kaamatan Untuk Semua, Kaamatan For All, Kaamatan Montok Toinsanan – membawa mesej yang penting dan inklusif.
“Ia menekankan bahawa Pesta Kaamatan bukan milik satu komuniti sahaja, tetapi adalah sambutan bersama yang merangkumi semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.
“Kaamatan bukan lagi sekadar pesta menuai. Ia telah menjadi simbol perpaduan rakyat, ruang untuk kita saling mengenali dan menghormati serta meraikan keunikan budaya masing-masing.
“Tema ini juga mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk menyatukan rakyat Sabah dari semua lapisan bagi meraikan warisan budaya kita yang kaya dan pelbagai,” katanya.