KOTA KINABALU : Empat laporan polis dibuat terhadap penyebaran dua video berunsur fitnah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah dan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor selepas tular di laman sosial sejak Jumaat lalu.
Laporan polis itu dibuat masing-masing dua di Balai Polis Sandakan manakala satu lagi di Balai Polis Penampang dan Karamunsing.
Kedua-dua video itu sengaja dimuat naik oleh individu tidak bertanggungjawab dengan bertujuan mengaibkan nama kedua-dua pemimpin berkenaan.
Berikutan aduan itu, polis membuka satu kertas siasatan bagi memburu individu yang bertanggungjawab terhadap penyebaran video berkenaan.
Ketua Pemuda Gagasan Rakyat (Gagasan Rakyat) Bahagian Kuamut, Willy Frous Darinsok berkata, penyebaran video berunsur fitnah itu adalah bermotifkan politik.
Katanya, video pertama dimuat naik di laman sosial menuduh Masiung merupakan Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) mengambil komisyen berjumlah RM2 juta daripada projek baharu lembaga berkenaan.
“Tuduhan itu adalah tidak benar sama sekali kerana Masiung tidak mempunyai kuasa eksekutif untuk meluluskan atau merobohkan bangunan lama itu kerana ia memerlukan kelulusan Kabinet Negeri.
“Sebaik sahaja polis menjalankan siasatan, pihaknya akan memfailkan kes tersebut ke Mahkamah bagi membawa pelaku ke muka pengadilan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Willy Frous berkata, Masiung juga didakwa menghalau penghuni rumah pangsa Tanjung Aru dalam masa yang singkat tanpa melalui prosuder yang sah.
“Saya salah seorang Pegawai di LPPB, bangunan Rumah Pangsa Tanjung Aru sudah berusia lebih 50 tahun menerima laporan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Juruperunding struktur bangunan usang itu tidak selamat untuk didiami.
“LPPB mengeluarkan notis sejak awal 2021 lagi dengan memberi tempoh cukup lama hampir empat tahun kepada penghuni supaya mereka segera berpindah,” jelas Willy Frous.
Menurutnya, kebanyakkan penghuni enggan berpindah mempunyai tunggakkan sewa yang tinggi sekali gus tidak pernah membuat bayaran sewa bulanan.
“Bagaimanapun kini, sejumlah besar penghuni sudah mengosongkan rumah manakala cuma berbaki hampir 100 penghuni lagi yang masih enggan berpindah.
“Kesempatan ini digunakan oleh segelintir pemimpin pembangkang untuk mencari pengaruh politik peribadi sehingga wujudnya penyebaran video berunsur fitnah berkenaan,” tambahnya.
Willy Frost berkata, LPPB mempunyai rekod terperinci kerana ada penghuni enggan berpindah dengan alasan tertentu walaupun ditawarkan dengan rumah LPPB di tempat lain.
Sementara itu, Kamarudin Mahalil, turut membuat aduan di Balai Polis Seguntur, Batu 8, Sandakan berhubung satu lagi video mengaitkan nama Masiung bersama Hajiji dimuat naik di pelbagai laman sosial sejak Jumaat lalu.
“Video berdurasi 1 minit 35 saat itu pula mengaitkan nama Masiung dan Hajiji berhubung projek kilang Klinker dan Simen di daerah Tongod.
“Kita percaya penyebaran video itu mempunyai kaitan dengan penyokong parti pembangkang cemburu melihat Kerajaan Negeri pimpinan Hajiji melakar kejayaan menerusi pelaburan bernilai RM1.2 bilion itu,” jelas Kamarudin.
Menurutnya, dakwaan ADUN Kuamut diserbu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung isu kilang Klinker dan Simen adalah fitnah semata-mata.
“Setakat ini idak ada kelibat pihak berkuasa sama ada LHDN, polis atau Suruhanjaya Pencagah Rasuah Malaysia (SPRM) datang membuat serbuan ke rumah Naib Presiden Gagasan Rakyat ini,” kata Kamarudin.