Empangan Hidroelektrik Ulu Padas Dijangka Siap 2029 – Hajiji

KOTA KINABALU : Pembinaan Empangan Hidroelektrik di Ulu Padas, Tenom dijangka siap pada 2029.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, ini bagi memastikan bekalan air yang konsisten untuk jangka masa panjang, kerajaan negeri dengan berkolaborasi bersama kerajaan persekutuan membina Empangan hidroelektrik.

Katanya, projek mega ini akan menjadi sumber bekalan air mentah, terutama ke beberapa daerah utama di Sabah.

“Dengan projek ini juga aliran bekalan elektrik akan diperluaskan dengan menghubungkan rantau selatan dan tenggara Sabah, sekali gus mencipta rangkaian tenaga yang lebih stabil.

“Untuk bekalan air kepada penduduk di sebelah Putatan, pihak Jetama sedang membina Urgent Water Supply Scheme iaitu loji baharu berkapasiti 5 juta liter sehari (MLD),” katanya di sini hari ini.

Hajiji berkata, projek ini dijangka siap pada bulan Mei nanti mampu menghasilkan pertambahan 5 juta liter sehari (MLD) khusus untuk kawasan sekitar Putatan.

“Manakala, Projek Loji Rawatan Air Kogopon 2 di Papar yang masih dalam pembinaan, dijangka siap sepenuhnya pada tahun hadapan yang akan meningkatkan kapasiti air terawal untuk kawasan Papar dan juga Putatan.

“Kementerian dan Jabatan yang terlibat perlu bertindak pantas mengatasi sebarang isu dan menjelaskan kepada rakyat permasalahan yang dihadapi memandangkan banyak perkara yang tidak diingini berlaku sejak akhir-akhir ini,” jelas Hajiji.

Menurutnya, JKR bertanggungjawab memantau, memeriksa jalan rosak serta bertanggungjawab membuat pemantauan, pemeriksaan yang kerap dan rapi.

“Jangan menunggu sehingga berlaku kemalangan baru kelam kabut bertindak, untuk memperbaiki jalan berkenaan.

“Kita sedih dengan viral kejadian seorang pengguna jalan raya menunggang motorsikal maut akibat jalan raya dibiarkan berlubang berlaku dalam kawasan Bandaraya Kota Kinabalu baru-baru ini,” kata Hajiji.

Beliau berkata, sikap tidak ambil peduli ini menyebabkan rakyat menyalahkan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akibat gagal mengambil tindakan.

“Begitu juga dengan isu air, isu elektrik, isu setinggan haram oleh oleh golongan Pendatang Tanpa Izin (PATI) dan bermacam-macam lagi isu terkait kepentingan rakyat.

“Ini sepatutnya dapat diatasi jika kita cekap, pantas dan tangkas dalam bertindak dan menunaikan kewajipan mengenai isu air,” tambah Hajiji.