KOTA KINABALU : Pengumuman pelaksanaan Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) dijangka mampu meringankan beban rakyat kurang berkemampuan di negeri ini.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, SYUKUR melibatkan peruntukkan berjumlah RM358.5 juta bakal disalurkan memberi manfaat kepada 100,000 penerima.
Katanya, ini membuktikan komitmen kerajaan negeri dibawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor bersungguh-sungguh menangani kemiskinan secara langsung serta menyeluruh.
“Program ini merupakan satu langkah signifikan dalam memastikan kesejahteraan rakyat Sabah terus terpelihara.
“Ini khususnya melibatkan golongan miskin dan miskin tegar berdaftar dalam sistem eKasih bagi memastikan mereka tidak tercicir daripada menerima bantuan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nizam merupakan Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Sabah berkata, inisiatif ini jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap isu peningkatan kos sara hidup.
“Dengan pemberian bantuan tunai setiap bulan kepada penerima yang layak sehingga Disember 2025.
“Program ini bukan sahaja memberikan kelegaan kewangan tetapi juga mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam membangunkan masyarakat yang lebih inklusif dan sejahtera,” jelas Nizam.
Menurutnya, perancangan kerajaan negeri untuk memperluaskan pelaksanaan program ini melalui Fasa Kedua yang akan bermula pada Mei 2025 wajar disambut baik.
“Langkah ini akan membolehkan lebih ramai rakyat yang memerlukan mendapat manfaat, termasuk mereka yang berada dalam senarai eKasih dan yang sebelum ini tidak tersenarai dalam pangkalan data negeri Sabah (PADANS).
“Usaha ini menunjukkan ketelusan dan komitmen kerajaan dalam memastikan tiada golongan yang tercicir daripada menerima bantuan yang sewajarnya,” kata Nizam.
Beliau berharap program SYUKUR ini bukan sahaja membantu rakyat yang memerlukan, tetapi juga menjadi bentuk bantuan berterusan yang mampu memberikan impak positif kepada masyarakat Sabah.
“Usaha ini selari dengan aspirasi Sabah Maju Jaya yang menekankan pembangunan inklusif dan kesejahteraan rakyat.
“Saya mengajak semua pihak untuk bersama-sama menyokong inisiatif ini demi kebaikan rakyat Sabah,” tambahnya.
Nizam berkata, Kerajaan negeri di membuktikan komitmennya terus bekerja untuk rakyat sekali gus beliau yakin langkah seperti ini akan terus diperluaskan demi kesejahteraan semua.