Eko Pelancongan Komuniti Kg Kibambangan Penampang boleh dibangunkan semula dengan kerjasama koperasi

PENAMPANG : Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, Eko pelancongan komuniti di Kampung Kibambangan, Penampang yang suatu ketika dahulu menjadi tumpuan pelancong, berpotensi untuk dibangunkan semula melalui kerjasama strategik bersama gerakan koperasi tempatan.

Beliau berkata, usaha menghidupkan semula kawasan tersebut boleh diperkasa dengan penglibatan koperasi dalam mengurus dan membangunkan tapak eko-pelancongan dan perkhemahan sedia ada.

“Sebagai usaha untuk merancakkan semula aktiviti ekonomi di kawasan ini, saya setuju meluluskan peruntukan RM250,000 di bawah program pembangunan premis Tamu Desa Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk membina bangunan tamu berkonsepkan dewan terbuka serta kemudahan lain yang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke tapak perkhemahan dan eko pelancongan Kg. Kibambangan, di sini, hari ini.

Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang memuji usaha Persatuan Seni Budaya Nulu Penampang yang masih aktif menganjurkan pelbagai aktiviti kebudayaan dan konsert di kawasan itu.

Beliau juga berharap agar komuniti kampung, khususnya belia dan koperasi, terus memainkan peranan aktif dalam menguruskan kawasan tersebut secara mampan dan berdaya saing.

Dalam lawatan yang sama, beliau turut mengunjungi studio dan bengkel gitar milik Jack Masa, seorang usahawan muda dan penggiat seni muzik Sabah yang kini dalam proses membangunkan studio di Pekan Donggongon, sebagai usaha meluaskan perusahaannya.

“Saya menawarkan geran pembangunan di bawah Program BEEP Plus (Geran Usahawan Bumiputera Sabah & Sarawak) yang dilaksanakan oleh SME Corp kepada beliau untuk menjayakan perniagaannya.

“Selaku Ahli Parlimen Penampang, saya turut menyalurkan peruntukan sebanyak RM20,000 kepada Persatuan Seni Budaya Nulu Penampang pimpinan beliau untuk program-program belia yang telah dilaksanakan.

“Pada tahun ini, saya juga bersetuju untuk menyalurkan peruntukan yang sama bagi menyokong inisiatif-inisiatif persatuan pimpinan Jack,” katanya.

Ewon berharap lebih ramai usahawan muda tampil mendekati agensi-agensi KUSKOP iaitu SME Corp, Bank Rakyat, SME Bank, TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia, PERNAS, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Institut Koperasi Malaysia, Institut Keusahawanan Negara dan UDA Holdings untuk mendapatkan maklumat seterusnya perkhidmatan yang bersesuaian dengan perusahaan mereka.

“Saya percaya dengan sokongan yang diberikan, saudara Jack mampu mencetus lebih banyak kejayaan dan menjadi inspirasi kepada usahawan muda lain di Sabah,” katanya.

Sementara itu, Ewon turut meninjau perusahaan homestay milik Matelda di Kg Putaton, Penampang yang telah beroperasi sejak 2007 dan merupakan ahli aktif Persatuan Homestay Penampang.

Beliau menyatakan komitmen untuk membantu pembaikan homestay tersebut yang mengalami kerosakan, dan menyifatkan usaha-usaha Matelda sebelum ini, termasuk dalam penternakan ikan dan tanaman hidroponik hasil peruntukan tahun lalu sebagai bukti keberkesanan sokongan kerajaan Madani dalam meningkatkan pendapatan usahawan desa.

“Pada tahun lepas, melalui peruntukan yang saya salurkan kepada Pertubuhan Peladang Kawasan Penampang, beliau juga menerima manfaat daripada penternakan ikan dan tanaman sayur secara hidroponik yang dibekalkan kepada ahli-ahli melalui peruntukan tersebut.

“Saya gembira kerana peruntukan yang disalurkan itu memberikan manfaat dan menjadi nilai tambah kepada perusahaan homestay ini,” katanya.

Ewon berkata, lawatan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif KUSKOP untuk memperkasakan komuniti luar bandar, belia dan usahawan melalui pendekatan inklusif dan kolaboratif.