KOTA KINABALU: Dua individu rentung apabila kenderaan dipandu jenis Perodua Axia terbakar selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Timbalan Penguasa Bomba Ordine Gilu berkata, bagaimanapun setakat ini kedua-dua mangsa rentung belum dikenal pasti identitinya serta siasatan masih dijalankan.
Katanya, dua lagi mangsa lelaki dari kenderaan Perodua Viva dan Toyota Vigo masing-masing hanya mengalami cedera ringan.
“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 2.30 pagi tadi, ketika tiba di lokasi kejadian mendapati kebakaran melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Axia terbakar 100 peratus.
“Ia berpunca daripada kemalangan jalan raya yang melibatkan tiga kenderaan iaitu Perodua Axia (terbakar), Perodua Viva dan Toyota Vigo,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ordine berkata, terdapat dua orang mangsa rentung di dalam kenderaan Perodua Axia manakala operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran Hose Reel dari Jentera Bomba.
“Kedua mangsa rentung berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain wujud di lokasi kejadian, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.40 pagi,” jelas Ordine.