Dr Jeffrey, Yong Teck Lee ‘ketinggalan bas’ berkaitan bilangan pengundi naik mendadak – Azhar

KOTA KINABALU: Peningkatan bilangan pengundi yang naik secara mendadak bukan hanya berlaku di Parlimen Keningau dan di negeri Sabah malah di seluruh negara.

Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti WARISAN, Azhar Matussin berkata, sebagai contoh di Parlimen Sepanggar sendiri menunjukkan peningkatan ketara iaitu 62,415 pada 2018 dan meningkat sehingga 107,463 melalui statistik Julai lalu.

Katanya, jumlah ini semakin bertambah setiap bulan memandangkan wujudnya pemilih berdaftar secara automatik bagi pengundi berusia 18 tahun.

“Mungkin Datuk Seri Dr jeffrey Kitingan dan Datuk Seri Yong Teck Lee belum tahu bahawa sekarang ini pengundi didaftar secara automatik oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Bukan sahaja pengundi baharu  dari golongan 18 tahun malah semua rakyat Malaysia yang belum mendaftar sebagai pengundi akan didaftarkan secara automatik,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Azhar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Darau berkata, beliau mencadangkan agar Dr Jeffrey  merujuk sambil bertanya kepada SPR untuk maklumat selanjutnya.

“Bukannya SPR yang perlu beri penjelasan……Sebab ramai sudah mengetahui tapi sangat menghairankan mengapa (Jeffrey dan Yong) masih ketinggalan bas.

“Umpama kata pepatah lama Malu bertanya sesat jalan. Sila rujuk kepada SPR daripada membuat kenyataan media seperti ini yang akan memalukan diri sendiri,” katanya.

Mengulas mengenai kenyataan Yong Teck Lee kononnya mengesyaki peningkatan luar biasa ini adalah disebabkan kemungkinan wujud skandal projek kad pengenalan (IC) adalah sangat tidak munasabah.

“Saya rasa beliau masih belum faham bahawa kuasa mengeluarkan kad pengenalan ini terletak di bawah pada bidang kuasa kerajaan di peringkat persekutuan.

“Sekiranya Yong Teck Lee hadir semasa taklimat pihak SPR kepada semua ADUN Sabah di beberapa bulan lalu, mungkin dia (Yong) akan lebih faham mengapa berlaku peningkatan mendadak ini sekali gus tidak akan membuat kenyataan seumpama ini,” katanya.

Azhar mencadangkan agar kedua-dua mereka (Dr Jeffrey dan Yong) perlu hadir ke taklimat-taklimat yang dianjurkan DUN Sabah.

“Ini bagi menambah ilmu serta meningkatkan pengetahuan agar dapat memberi khidmat yang lebih berkesan kepada rakyat yang diwakilinya,” katanya.