SANDAKAN : Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau, bersama isteri, Datin Yee Tsai Siew, telah menghadiri Program Bubur Lambuk yang dianjurkan oleh Senator Anna Belle di PPR Murni, Sandakan, petang kelmarin.
Program ini merupakan usaha murni untuk merapatkan hubungan antara komuniti setempat dan pelbagai lapisan masyarakat di kawasan berkenaan.
Anna Belle menyatakan rasa terharu dengan kehadiran Dexter dan isteri yang sudi turun padang untuk menjayakan program itu.
“Kehadiran mereka hari ini menggambarkan semangat perpaduan yang nyata. Walaupun kita berbeza agama dan bangsa, kita dapat bersama-sama merayakan serta menjayakan program ini.
“Sabah adalah model terbaik dalam menunjukkan semangat perpaduan ini,” katanya.
Program Bubur Lambuk yang dianjurkan oleh Anna Belle bersama komuniti masyarakat di PPR Murni bertujuan membawa keberkatan serta menunjukkan kesungguhan dalam menyediakan bubur lambuk dan pelbagai juadah berbuka puasa.
Program ini juga berfungsi untuk mengeratkan hubungan antara komuniti setempat.
Anna berkata, program itu turut melibatkan beberapa kawasan seperti PDM Sibuga, Taman Airport, Taman Merpati, Taman Fajar, Kampung Tinusa, Sungai Kayu, Pulau Nunuyan, dan lain-lain.
Katanya, masyarakat di kawasan-kawasan ini berpeluang merasai dan menikmati juadah yang disediakan sebagai tanda kasih sayang dalam kalangan komuniti setempat.
Dalam pada itu, Dexter turut menyatakan rasa gembira kerana dapat hadir ke PPR Murni, Sandakan, di mana acara ini berlangsung dengan suasana yang penuh kehangatan dan mesra.
Beliau memuji usaha Anna yang banyak meluangkan masa bersama masyarakat.
Katanya, komuniti kecil boleh membina hubungan rapat sesama dan mungkin kadang kala pengurusan seperti ini berkesan atau perlu diamalkan bergantung kepada situasi.
“Tidak semua perkara memerlukan ramai orang. Kepimpinan dapat dibina melalui pendekatan yang lebih kecil.
“Saya belajar banyak daripada setiap orang, baik dalam pengurusan mahupun kepimpinan dan saya juga banyak belajar daripada Anna,” katanya.