KOTA KINABALU: Dua beranak mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu berkaitan penjualan jongkong emas yang dilombong di Bukit Mantri, Tawau antara 2019 hingga Mac lalu ketika di dihadapkan di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, di sini, hari ini.
Tertuduh, Datuk Lo Fui Ming, iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Wullersdorf Resources Sdn Bhd dan anaknya, Lo Teck Yong, yang juga bekas pengarah syarikat yang sama didakwa menyebabkan kerugian lebih RM1.3 juta nilai royalti kepada kerajaan negeri.
Fui Ming, 67, berdepan 24 pertuduhan mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan, manakala Teck Yong, 42, juga berdepan 24 pertuduhan, masing-masing mengikut Seksyen 109 yang dibaca bersama Seksyen 418 Kanun Keseksaan.
Semua pertuduhan adalah berkaitan kesalahan menipu Kerajaan Negeri melalui Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) dengan tidak mengisytiharkan hasil penjualan kuantiti jongkong emas yang sebenar dalam dokumen invois yang dikemukakan kepada JTU.
Hakim Jason juga yang mendengar pertuduhan itu kemudian menetapkan wang jaminan masing-masing RM100,000 kepada kedua-dua tertuduh dengan RM50,000 sebagai deposit dan seorang penjamin, manakala pasport mereka diserahkan kepada mahkamah.
Berdasarkan fakta kes, syarikat yang dikendalikan oleh kedua-dua tertuduh sebelum ini menjalankan perniagaan perlombongan mineral emas di Bukit Mantri, Tawau.
Syarat perjanjian pajakan tanah dan perlombongan mineral dengan JTU, menyatakan bahawa syarikat berkenaan perlu membayar royalti sebanyak lima peratus daripada hasil penjualan emas yang dilombong di Bukit Mantri.
Antara 2019 hingga 2023, kedua-dua tertuduh dikatakan telah menjual sebanyak 26 jongkong emas secara haram kepada syarikat pembeli dengan tidak mengisytiharkannya dalam dokumen invois yang dikemukakan kepada JTU bagi pengiraan bayaran royalti sebanyak lima peratus.
Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 8 Disember depan.