Curi 86 Tandan Buah Sawit Bernilai RM2,000, Warga Asing Ditahan

TAWAU : Cubaan seorang lelaki warga asing mencuri 86 tandan buah kelapa sawit di sebuah ladang akhirnya gagal apabila dia dicekup ketika sedang leka ‘menuai’ hasil curi di kawasan Serudong Laut, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin, berkata suspek berusia lingkungan 20-an ditahan jam 1.30 petang oleh anggota polis bantuan bersama pasukan penguat kuasa Ladang Usahawan Borneo ketika melakukan rondaan.

Katanya, pihaknya merampas 86 tandan buah sawit bersama satu batang tombak serta satu penyodok dipercayai digunakan untuk mencuri.

“Suspek ditangkap ketika sedang leka mengutip buah kelapa sawit tanpa kebenaran di kawasan ladang Sungai Serudong.

“Anggaran kerugian RM2,000 berdasarkan harga pasaran semasa harga sawit pada masa kini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jasmin berkata, semakan awal mendapati suspek tidak ada mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Suspek akan disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” jelas Jasmin.