COVID: Labuan mulakan ujian RT-PCR hari ini

LABUAN: Labuan akan memulakan ujian real-time reverse transcriptase-polymerase chain reaction (RT-PCR) COVID-19 di kemudahan makmal PCR molekular yang baru disiapkan di Hospital Nukleus Labuan hari ini, kata Pengarah Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari.

Beliau berkata di peringkat permulaan makmal RT-PCR di Hospital Nukleus Labuan akan menjalankan 200 ujian setiap hari.

“Kita akan mula jalankan ujian RT-PCR di makmal hospital hari ini, bermula dengan jumlah kecil terlebih dahulu.

Sebelum makmal itu siap, sampel COVID-19 untuk ujian RT-PCR terpaksa dihantar ke makmal kesihatan awan negara di Semenanjung dan Kota Kinabalu, yang mengakibatkan banyak kes tertangguh.

Dr Ismuni berkata ujian RT-PCR itu juga dibuka kepada orang ramai dengan bayaran minimal RM151 bagi rakyat Malaysia dan RM290 bagi bukan warga negara tempatan.

Labuan ketika ini mencatatkan 2,224 kes aktif dan dikaitkan dengan empat kluster aktif yang terdiri daripada kluster Victoria Merdeka, Patau-Patau, Simpang Sungai dan Tembok Labuan.

“Masih ada baki 115 sampel untuk dianalisis, dengan 12 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Nukleus Labuan,” katanya.

— BERNAMA