KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan jumlah kes harian COVID-19 tertinggi setakat ini iaitu 666 kes dengan 50.3 peratus kes berpunca jangkitan dari dua penjara di negeri itu, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun.
Beliau berkata jangkitan daripada Penjara Kepayan di sini mencatatkan 211 kes hari ini, manakala jangkitan daripada Penjara Tawau merekodkan 124 kes, menjadikan keseluruhan 335 kes positif COVID-19 di dua penjara itu.
“Kes di Penjara Kepayan itu menyumbang 76 peratus kes di daerah Kota Kinabalu yang mencatat 278 kes hari ini, manakala kes di Penjara Tawau menyumbang 85.5 peratus daripada 145 kes dilaporkan di daerah Tawau,” katanya kepada Bernama menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.
Masidi berkata daripada 666 kes dicatat hari ini, 435 pesakit atau 65.3 peratus berada pada Tahap 1 tidak bergejala, manakala 225 orang atau 33.8 peratus pada Tahap 2 bergejala tanpa radang paru-paru.
“Ini bermakna 99.1 peratus mereka yang disahkan positif hari ini hanya perlu menjalani rawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 dan tidak perlu dimasukkan ke hospital,” katanya.
– – BERNAMA