KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew menyokong penuh bagi acara sulung pendakian Antarabangsa Gunung Trusmadi 2024 yang dijadualkan diadakan di daerah tanah tinggi Tambunan pada 25 Mei tahun ini.
Beliau berkata Kementeriannya akan menghulurkan bantuan yang diperlukan untuk memastikan kejayaan acara ini.
“Sudah tiba masanya untuk mempromosikan Gunung Trusmadi sebagai gunung kedua tertinggi di Malaysia, dan keindahan alam semula jadi di kawasan itu, baik di peringkat tempatan mahupun di arena antarabangsa.
“Saya memuji pihak penganjur kerana mengambil inisiatif mengadakan acara antarabangsa ini yang berpotensi untuk berkembang menjadi produk eko-pelancongan baharu.
“Selain pendakian antarabangsa, peminat mendaki perlu digalakkan untuk mendaki gunung sebagai aktiviti kesihatan untuk kecergasan,” katanya ketika menerima kunjungan hormat penganjur pendakian itu.
Timbalan Ketua Konservator Hutan (Operasi) Musa Salleh dan Presiden Kelab Larian Velocity Andrew Lian Awa, yang merupakan Pengarah Perlumbaan, memberi taklimat kepada Menteri mengenai pendakian itu
Anjuran bersama Kelab Larian Velocity, Jabatan Perhutanan Sabah dan Pejabat Daerah Tambunan, pendakian itu bertujuan menarik kira-kira 500 peserta dari Malaysia dan luar negara.
Sebagai permulaan, Liew telah dijemput untuk melancarkan acara itu pada 6 Februari di Pusat Sejadi Hutan Lipur Kawang di Papar.
Gunung Trusmadi yang berdiri pada ketinggian 2,642 meter dikurniakan flora dan fauna yang unik.
Pendakian yang akan bermula di Pintu Kupu-Kupu di Hutan Simpan Nuluhon Gunung Trusmadi menawarkan dua kategori – laluan 30 kilometer (km) untuk pendaki antarabangsa dan laluan 21km untuk penduduk tempatan terbuka kepada lelaki dan wanita.
Jumlah hadiah wang tunai RM29,600 untuk pemenang disediakan untuk dimenangi.