Cadangan Bertanding 13 Kerusi PRN Sabah Bukan Campur Tangan Pusat- Mohd Guntur

KOTA KINABALU : Cadangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengemukakan permintaan untuk bertanding di 13 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bukanlah campur tangan keputusan pucuk pimpinan parti di peringkat nasional.

Ahli Majlis Pimpinan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Mohd Guntur Sangkar berkata, malah senarai itu merupakan hasil perbincangan berterusan antara PKR Sabah bersama Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Katanya, cadangan ini dibentuk berdasarkan semangat kerjasama politik yang matang sekali gus tanpa mengenepikan peranan parti tempatan.

“Perlu diingatkan…..PKR Sabah bukan sekadar ‘cabang’ yang mengikut arahan pusat secara membuta tuli.

“Sejak penubuhannya, PKR Sabah dibina melalui kerjasama rapat antara aktivis tempatan dan kepimpinan negara, menjadikannya sebuah parti nasional yang benar-benar berakar umbi di Sabah,” katanya di sini hari ini.

Kenyataan itu sebagai respons kepada dakwaan Ketua Penerangan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Anuar Ghani yang menuduh PKR Pusat masih menganggap Sabah sebagai jajahan politik, bukan rakan setara dalam Persekutuan.

Dakwaan itu dibuat susulan pengumuman Nurul Izzah bahawa PKR akan bertanding sekurang-kurangnya 13 kerusi pada PRN Sabah akan datang.

Mohd Guntur merupakan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pensiangan berkata, PKR adalah satu-satunya parti kebangsaan yang secara rasmi memuktamadkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dalam perlembagaan partinya.

“PKR memberikan satu komitmen yang jelas terhadap hak serta autonomi Sabah yang diperjuangkan sejak awal penubuhnnya.

“STAR Sabah, sebaliknya harus memikirkan rekodnya sendiri sebelum melabel orang lain sebagai sebagai jajahan politik, bukan rakan setara dalam Persekutuan.

“STAR pernah bersekutu dengan Perikatan Nasional (PN) sebuah gabungan yang secara terbuka melemahkan kedudukan Sabah dalam rundingan MA63 sekali gus gagal menunaikan janjinya dalam pembangunan di negeri Sabah,” jelas Mohd Guntur.

Menurutnya, realitinya PKR Sabah kekal konsisten dalam memperjuangkan reformasi dan keadilan untuk memenuhi keperluan rakyat Sabah.

“Manakala STAR Sabah terus mengalihkan pendiriannya mengikut keselesaan politiknya,  serta hanya mengutamakan kepada kepentingan dirinya sendiri,” katanya.