KOTA KINABALU : Senator Datuk Noraini Idris menyokong cadangan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi yang mencadangkan agar Akta Parlimen Berpenggal Tetap digubal.
Menurut beliau walau pun cadangan tersebut masih diperingkat kajian terperinci sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat, semua pihak perlu melihat ianya sebagai cadangan positif yang bertujuannya untuk mengekalkan jangka hayat Dewan Rakyat di Parlimen bagi mempastikan kestabilan politik bagi sesebuah kerajaan yang mentadbir negara.
“Cadangan Akta Parlimen Berpenggal Tetap adalah untuk menentukan bahawa tempoh hayat kerajaan akan kukuh hingga lima tahun. Dalam keadaan yang sama kestabilan politik dalam blok kerajaan dengan jumlah sokongan mencukupi sehingga lima tahun perlu ada,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Penampang berkata, Akta Berpenggal ini boleh mengatasi masalah (bubar parlimen sebelum cukup penggal) dan ianya tidak akan berlaku.
“Tujuan Akta Parlimen Berpenggal ini bukan untuk mengatasi daripada ahli Dewan Rakyat ‘cross the floor’ tapi ianya lebih untuk mengekalkan penggal Parlimen dan menghadkan kuasa Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen,” katanya
Noraini berkata, Akta Parlimen Berpenggal sudah tentu bukanlah langkah terdesak untuk mengekalkan kerajaan hari ini sebaiknya dibuat sebagai menghormati mandat pilihan raya dan proses demokrasi dan memastikan kestabilan politik.
“Jika ada usaha-usaha dari pihak terbabit yang mahu menggulingkan kerajaan tidak mengikut saluran demokras dan pilihanraya, sudah tentu akan mewujudkan ketidakstabilan politik negara dan ini akan merencatkan segala perancangan pembangunan, ekonomi dan kestabilan politik,” jelas Noraini.
Noraini menambah terdapat banyak negara yang mengamalkan Parlimen berpenggal tetap dengan garis masa yang dipersetujui untuk pilihan raya demi menjamin kestabilan politik dan ekonomi serta menghalang sebarang cubaan rampasan kuasa yang memudaratkan sistem demokrasi berparlimen negara.
“Parlimen berpenggal tetap juga boleh memastikan segala agenda reformasi dan polisi dapat dilaksanakan secara berterusan tanpa gangguan,” katanya
Tambah Noraini lagi, sekiranya hendak membaiki dan memastikan kelancaran program kerajaan serta memastikan bahawa Parlimen itu kekal lima tahun, maka Akta Parlimen Bepenggal ini sesuai untuk digubal sekiranya ada keperluan untuk membubarkan Parlimen terlebih awal maka boleh dilakukan dengan ‘mekanisme’ yang sesuai dan lebih ketat.
