Cabaran Urus Empat Anak Tidak Halang Pasangan Suami Isteri Raih PhD Bersama-sama

KOTA KINABALU: Kesibukan dan cabaran mengurus empat anak yang masih kecil serta berkerja semasa melanjutkan pengajian tidak menghalang pasangan suami isteri.

Mereka ialah Dr. Suhairullah Omar Ramih dan Dr. Fadzilah Patman berjaya mendapat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Pengurusan Pendidikan sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke-23.

Pasangan ini mula melanjutkan pengajian pada tahun 2018 dan berjaya menamatkan pengajian pada tahun 2021 dan sepanjang tempoh tersebut, mereka akui telah melalui banyak cabaran.

“Kami perlu memainkan peranan masing-masing dalam membahagikan masa antara anak dan juga tugasan,” kata Suhairullah yang bertugas sebagai Jurulatih Pusat Kokurikulum di Kiulu.

“Walaupun isteri saya bergelar seorang pelajar, namun dia tidak pernah melupakan tanggungjawabnya sebagai isteri untuk menjaga anak-anak kami yang berusia 11, 8 dan 3 tahun serta yang kecil, 2 bulan.

“Sepanjang pengajian hingga bergraduasi hari ini, Fadzilah dua kali bersalin dan kami dikurniakan dua anak sebelum berjaya menggenggam ijazah bersama,” jelasnya lagi.

Fadzilah yang bertugas sebagai guru di SK Rugading, Tuaran juga turut berasa gembira kerana dapat menamatkan pengajian bersama dengan suami walaupun hakikatnya ramai yang tidak tahu liku-liku mereka berdua sepanjang tempoh tiga tahun pengajian.

“Saya sangat bersyukur kerana mampu menghabiskan pengajian dengan sokongan daripada ibu bapa dan mentua serta anak-anak yang terpaksa menerima dan memahami situasi kami yang bergelar ibu bapa dan pelajar.

“Kami berjanji untuk meluangkan masa dan mencurahkan kasih sayang kepada anak-anak bagi menggantikan tempoh tiga tahun yang terpaksa dikorbankan mereka,” katanya.

Kedua-dua mereka menerima skrol ijazah PhD masing-masing pada hari pertama Majlis Konvokesyen UMS di Dewan Canselor, di sini kelmarin.