KUALA LUMPUR: Individu yang mengalami masalah seperti kewangan, kesihatan, tekanan perasaan, kemurungan, masalah keluarga dan lain-lain perlu diberikan bantuan khidmat nasihat, selain sokongan ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata hasil siasatan JSJ mendapati tiga punca utama yang menyebabkan kejadian bunuh diri adalah kerana tekanan perasaan, masalah keluarga dan faktor kewangan.
“Sebanyak 468 kes bunuh diri dicatatkan bermula Januari hingga Mei tahun ini di seluruh negara dan 609 kes serta 631 kes masing-masing pada tahun 2019 dan 2020.
Abd Jalil berkata secara purata, sebanyak dua kes dicatatkan setiap hari sepanjang tempoh 2019 hingga Mei 2021.
Beliau berkata Johor mencatatkan kes tertinggi pada tahun 2019 dan 2020 iaitu sebanyak 101 kes manakala bagi tahun ini sehingga Mei pula, Selangor telah mencatatkan kes tertinggi dengan 117 kes.
Abd Jalil berkata berdasarkan trend kejadian bunuh diri yang berlaku, semua pihak yang bertanggungjawab terutamanya masyarakat harus memainkan peranan penting bagi membendung isu ini.
— BERNAMA