KOTA KINABALU: Ahli Majlis Tertinggi Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Jaffari Waliam menegaskan bahawa dakwaan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin terhadap Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai sebuah kerajaan gagal adalah tidak berasas dan tidak berlandaskan fakta sebenar.
Beliau berkata, Bung Moktar seharusnya menilai pencapaiannya sendiri ketika memegang jawatan sebagai Menteri Kerja Raya Sabah sebelum Langkah Kinabalu berlaku.
Beliau mempertikaikan apa yang telah dilakukan Bung Moktar untuk menyelesaikan masalah asas rakyat yang kini dikritiknya.
“Sepanjang hampir lima tahun kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor, pelbagai program dan dasar telah dilaksanakan melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi menangani isu rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas mengenai dakwaan kerosakan jalan, Jaffari menegaskan bahawa masalah itu bukan perkara baharu, malah ketika Bung Moktar menjadi Menteri Kerja Raya Negeri, isu berkenaan masih berlarutan.
Namun, Kerajaan Negeri tetap komited untuk membaiki jalan-jalan ini meskipun sebahagian besar jalan yang rosak adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.
Selain itu, isu bekalan air dan elektrik juga mendapat perhatian serius daripada Kerajaan Sabah. Menurut Jaffari, Kerajaan telah merancang penyelesaian jangka panjang dengan projek seperti Empangan Babagon, Projek Tenaga Solar Sabah, serta Projek Empangan Ulu Padas yang dijangka siap pada 2027.
Dalam aspek ekonomi, beliau menekankan bahawa prestasi kewangan Sabah terus menunjukkan peningkatan, dengan belanjawan negeri 2025 mencatat jumlah tertinggi dalam sejarah, iaitu RM6.421 bilion.
“Mengenai penghijrahan rakyat ke luar negeri, Bung Moktar seolah-olah lupa bahawa fenomena ini telah lama berlaku sejak zaman pemerintahan UMNO-BN. Namun, di bawah kepimpinan Hajiji, Sabah berjaya menarik pelabur asing, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk anak tempatan,” katanya.
Jaffari turut menegaskan bahawa Kerajaan tidak menafikan kenaikan kos sara hidup. Oleh itu, bantuan khas seperti Program Sentuhan Kasih Rakyat 2025 (SYUKUR) telah diperkenalkan, memberikan bantuan RM300 sebulan kepada golongan termiskin mulai Januari hingga Disember 2025.
Selain itu, inisiatif Rumah Mesra SMJ telah diperkenalkan sejak 2022, dan pada 2025, kerajaan menambah 40 unit rumah di setiap DUN, menjadikan keseluruhan 3,000 unit rumah dibina dengan kos RM250 juta.
Bantuan ‘one-off’ RM5,000 juga diberikan kepada peniaga kecil tepi jalan pada tahun ini.
Mempersoalkan sama ada Bung Moktar cuba menafikan fakta-fakta ini, Jaffari menegaskan bahawa Kerajaan GRS-PH Plus di bawah pimpinan Hajiji bukanlah sebuah kerajaan gagal, sebaliknya terus berusaha menangani isu rakyat yang diwarisi sejak dahulu.