Bot bersama 500 liter petrol tanpa permit ditahan Maritim Tawau

TAWAU : Sebuah bot penumpang dipercayai membawa muatan 500 liter bahan api bernilai RM43,000 tanpa sebarang permit sah ditahan dekat sini, semalam.

Pengarah Zon Maritim Tawau Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Kapt Maritim Shahrizan Raman berkata, ketika melakukan pemeriksaan juragan bot tersebut bertindak memecut laju ke jeti Pusat Pemeriksaan Imigresen (CIQ) Tawau sekali gus bertindak meninggalkan bot dan berjaya melarikan diri.

Katanya, bot peronda Maritim menjalankan operasi melihat sebuah bot berada mencurigakan bergerak laju dari perairan Tawau menuju ke Pulau Sebatik pada jam 9.40 pagi.

“Ketika pemeriksaan dilakukan terhadap bot penumpang terbabit mendapati lebih 20 gelen bahan api jenis petrol dipercayai cuba diseludup keluar tanpa sebarang kebenaran.

“Bot bersama muatan tersebut dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau dan akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shahrizan berkata, kesemua barangan rampasan termasuk bot penumpang, enjin bot dan muatan barangan disita dianggarkan bernilai RM43,000.

“Modus operandi digunakan juragan terbabit dengan membawa bahan api dalam kuantiti yang kecil namun secara berulang kali bagi mengelakkan sindiket penyeludupan dikesan oleh pihak berkuasa.

“Kira yakin barangan ini adalah untuk pasaran di negara jiran berikutan terdapat permintaan yang tinggi di negara berkenaan,” jelas Shahrizan.