Bersedia hadapi fasa kritikal pemulihan industri pelancongan – Jafry

KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin meminta pengusaha industri pelancongan tempatan bersedia kerana tahun 2022-2023 merupakan fasa kritikal bagi pemulihan industri pelancongan bukan saja di negara ini malah di peringkat global.

Katanya, Pertubuhan Pelancongan Dunia (UNWTO) menjangkakan pelancongan dunia akan kembali seperti keadaan prapandemik pada atau selepas tahun 2024.

Oleh itu, katanya, antara perkara-perkara yang perlu ditekankan sepanjang tempoh pemulihan ini termasuk meningkatkan keyakinan dan kepercayaan pelancong luar terhadap negeri Sabah sebagai destinasi pelancongan yang selamat dan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) pembukaan semula sektor pelancongan antarabangsa yang diwar-warkan secara meluas menerusi platform digital agar memudahkan pelancong untuk mengakses segala maklumat yang berkaitan.

“Covid-19 mengubah landskap pelancongan di seluruh dunia, oleh itu pengusaha juga perlu bersedia untuk menukar model perniagaan atau struktur tadbir urus bagi memenuhi permintaan baharu sesuai dengan trend pelancongan semasa,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, Jafry menyarankan pemain- pemain industri untuk terus mempergiatkan promosi serta lebih kreatif dalam memasarkan produk dan lokasi pelancongan Sabah di mata dunia.

“Saya melihat usaha keras pengusaha tempatan mengubah suasana pelancongan negeri termasuklah memaksimumkan penggunaan platform digital untuk perkhidmatan dan produk mereka.

“Saya yakin dan percaya dengan gabungan kerjasama semua pengusaha serta agensi- agensi berkaitan pastinya akan menyemarakkan lagi industri pelancongan Sabah,” katanya.

Pembukaan semula sempadan negara bermula 1 April depan bakal memberi impak positif kepada negeri Sabah khususnya sektor pelancongan, tambahnya.