SANDAKAN : Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee mendesak Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk membenarkan pemohon layak untuk mengisi unit Program Perumahan Rakyat (PPR) yang masih kosong sekaligus membantu mereka mendapat tempat tempat tinggal.
Vivian membuat gesaan itu ketika sidang Parlimen di Kuala Lumpur baru-baru ini, yang mana beliau mengemukakan mengenai isu PPR di Sabah dan Sandakan kepada KPKT.
Beliau juga mahu mengetahui jumlah pemohon PPR setakat ini yang masih belum mendapat rumah berkenaan.
Beliau turut bertanya sama ada kerajaan telah memperkenalkan sebarang insentif bagi mendorong pemaju bagi membina lebih banyak rumah yang mampu milik agar golongan muda dapat memiliki rumah sendiri.
Menerusi jawapan bertulis daripada pihak KPKT, berdasarkan data daripada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) Sabah, bilangan pemohon dalam senarai menunggu untuk PPR di Sabah adalah seramai 19,397 orang.
Manakala, bagi Sandakan yang berdaftar dengan Majlis Perbandaran Sandakan adalah seramai 767 pemohon.
Berhubung pemberian insentif untuk menggalakkan pemaju swasta membina lebih banyak unit Rumah Mampu Milik (RMM), Kerajaan juga telah mengambil beberapa tindakan.
Antaranya, memberi kemudahan bayaran deposit kepada pemaju perumahan yang membina RMM iaitu pemaju perumahan terlibat banya perlu membayar deposit sebanyak RM200,000 ke dalam Housing Development Account (HDA) berbanding pemaju yang tidak membangunkan RMM yang perlu membayar sebanyak tiga peratus daripada kos pembinaan.
Yang kedua, Kerajaan juga memberi pengecualian sepenuhnya caj pematuhan dan caj pembangunan dan lorong pantas untuk kelulusan Kebenaran Merancang (KM), Pelan Bangunan (PB) dan lain-lain insentif di bawah kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang dapat membantu pemaju untuk membangunkan RMM.
KPKT juga akan terus giat melaksanakan pelbagai inisiatif bersama kerajaan negeri bagi memastikan rakyat mendapat akses terhadap perumahan yang berkualiti dan mampu dimiliki.
Dalam respon beliau berkenaan jawapan KPKT, Vivian mendesak agar Kerajaan merancang dan membina lebih banyak rumah PPR untuk menangani masalah rumah setinggan dan seterusnya mengatasi krisis kesihatan serta masalah sosial yang dikhuatiri berlaku di kawasan setinggan.
Selain itu, beliau mendesak agar kerajaan segera menempatkan 100 unit rumah di PPR Taman Harmoni di Sandakan yang kini kosong di projek perumahan yang sudah siap serta membenarkan 100 pemohon yang telah direkodkan untuk menduduki rumah tersebut.
Katanya, ia adalah langkah yang lebih baik daripada membiarkan rumah-rumah itu kosong, rosak dan akhirnya memerlukan lebih banyak perbelanjaan untuk pemulihan.