
KOTA KINABALU (Bernama): Pesawat khas yang membawa kumpulan pertama bekalan vaksin Pfizer-BioNTech untuk Sabah selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) tengah hari ini.
Pesawat TH314 syarikat penerbangan Raya Airways dikendalikan oleh Kapten Muhamad Noazli Muhamad Najib dan dibantu Pegawai Pertama Ravindran Santhanam tiba di KKIA pada 12.40 tengah hari.
Ketibaan dos vaksin COVID-19 bagi pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Sabah disambut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Shahelmy Yahya; dan Menteri Tugas-tugas Khas Sabah Datuk Arifin Arif.
Vaksin berkenaan dijadual untuk dihantar ke pusat simpanan Hospital Queen Elizabeth di sini dan pusat simpanan Hospital Keningau, di Keningau hari ini.
Masidi dijadual mengadakan sidang media bagi memberi penerangan tentang vaksin membabitkan jumlah dos, penerima pertama dan pelan pengagihan vaksin.
Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor dijadual merasmikan program imunisasi itu dan menerima suntikan vaksin pada 4 Mac.
SabahNewsToday