TAWAU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) hari ini mengumumkan pelaksanaan jadual penggiliran bekalan elektrik di seluruh kawasan Tawau, berikutan keperluan pengurusan beban pada sistem rangkaian tenaga di kawasan tersebut.
Dalam satu kenyataan rasmi, SESB memaklumkan bahawa terdapat empat giliran gangguan bekalan yang dijadualkan setiap hari, dan setiap giliran akan berlangsung selama tiga jam.
“Jadual ini dilaksanakan bagi memastikan bekalan elektrik dapat diagihkan secara adil kepada pengguna di seluruh kawasan terlibat, dan ia tertakluk kepada keadaan semasa sistem rangkaian di Tawau,” menurut kenyataan itu.
Berikut adalah pembahagian masa bagi setiap giliran:
Giliran 1: 12:00 tengah malam – 3:00 pagi & 12:00 tengah hari – 3:00 petang
Giliran 2: 3:00 pagi – 6:00 pagi & 3:00 petang – 6:00 petang
Giliran 3: 6:00 pagi – 9:00 pagi & 6:00 petang – 9:00 malam
Giliran 4: 9:00 pagi – 12:00 tengah hari & 9:00 malam – 12:00 tengah malam.
Sabah Electricity turut menasihatkan penduduk Tawau supaya membuat persediaan awal dan mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang tempoh penggiliran ini berlangsung.
“Pengguna yang terjejas boleh mendapatkan maklumat terkini atau sebarang pertanyaan melalui talian Hotline 15444 atau 088-515000, selain menghubungi talian WhatsApp di 019-8525427. Orang ramai juga boleh mengikuti Facebook rasmi Sabah Electricity Careline untuk pengumuman dan maklumat lanjut,” tambah kenyataan itu.
Walaupun jadual telah ditetapkan, SESB menjelaskan bahawa tempoh sebenar pemotongan mungkin berubah bergantung kepada keadaan semasa sistem elektrik di Tawau.
