KUALA LUMPUR : Bank Rakyat menawarkan bantuan khas banjir merangkumi moratorium sehingga enam bulan kepada pelanggan individu serta perniagaan terjejas akibat banjir di Sabah.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Dr. Mohammad Hanis Osman berkata, setakat ini empat daerah terjejas akibat banjir termasuk di Penampang, Putatan, Tuaran dan Tamparuli.
Katanya, sebagai sebuah institusi kewangan Islam prihatin, Bank Rakyat memahamu kesulitan dihadapi pelanggannya sekali gus berharap agar kemudahan moratorium ini dapat memberi kelegaan kepada mereka yang terjejas.
“Langkah proaktif diambil Bank Rakyat ini amat bertepatan dengan nilai keprihatinan dan ihsan dalam konsep Malaysia Madani bertujuan mengurangkan beban kewangan serta komitmen ditanggung pelanggan dalam waktu yang mencabar ini.
“Justeru, pelanggan yang menghadapi kesukaran untuk membuat ansuran bayaran pembiayaan bagi produk yang dilanggan boleh memohon bantuan moratorium ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mohammad Hanis berkata, ini termasuk bagi produk Pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan Perumahan-i, Pembiayaan Kenderaan-i, Sewa Beli Kenderaan-i, Pembiayaan Pendidikan-i,Pembiayaan Mikro-i dan Pajak Gadai-i.
“Pelanggan yang terjejas boleh memohon menerusi e-melbantuanbanjir@bankrakyat.com.my dengan menyertakan nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat terjejas, nombor telefon bimbit untuk dihubungi, jenis pembiayaan serta salinan bil utiliti yang mengesahkan alamat pelanggan.
“Pelanggan perniagaan juga boleh terusmengunjungi Pusat Perbankan Perniagaan (BBC)berhampiran bagi mendapatkan bantuan,” jelas Mohammad Hanis.