31 C
Kota Kinabalu
Sunday, May 22, 2022

Banjir Sabah: Enam PPS ditutup, 12 sekolah masih tidak beroperasi

KOTA KINABALU: Sebanyak enam pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir ditutup manakala tujuh lagi PPS masih dibuka pagi ini akibat kejadian banjir berikutan hujan berterusan Isnin lepas di daerah Tenom dan Beaufort.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memberitahu kesemua enam PPS ditutup itu di Tenom, manakala sebanyak lima PPS masih dibuka di daerah itu yang menempatkan 355 mangsa daripada 228 keluarga, dan dua PPS di Beaufort menempatkan 352 mangsa daripada 95 keluarga.

Keseluruhan mangsa banjir menurun pagi ini kepada 707 mangsa daripada 323 keluarga, berbanding 1,433 orang daripada 554 keluarga pada petang semalam, menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Dr Mistirine Radin berkata sebanyak 12 sekolah di daerah Beaufort dan Tenom melibatkan 1,915 pelajar, masih ditutup pagi ini berikutan kejadian banjir itu.

Menerusi kenyataan, beliau berkata daripada jumlah itu sebanyak sembilan sekolah di Beaufort melibatkan 1,338 pelajar, manakala tiga sekolah lagi di Tenom membabitkan 577 pelajar.

Katanya, sekolah masih dilimpahi air banjir, berlumpur dan sedang dibersihkan merupakan sebab sekolah berkenaan masih tidak beroperasi, malah beberapa sekolah antaranya Sekolah Kebangsaan (SK) Jabang dan SK Pintas di Beaufort terputus hubungan kerana laluan tidak boleh dilalui kenderaan ringan.

Sekolah ditutup di Beaufort melibatkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Lian Hwa,  SK Lago, SK Bangkalalak, SK Garama, SK Mempagar, SK Suasa, SK Lupak, SK Jabang dan SK Pintas manakala di Tenom melibatkan SK Gumisi, SK Ladang Sapong dan SK Nubai, katanya.

Pada Rabu lepas, sebanyak 24 sekolah di dua daerah itu ditutup akibat bencana banjir, melibatkan 17 sekolah di Beaufort dan tujuh sekolah lagi di Tenom.

Dalam pada itu, Jabatan Kerja Raya Sabah dalam kenyataan memberitahu dua jalan di daerah Kota Belud terjejas akibat banjir iaitu Km 78.8 Jalan Kota Kinabalu-Kudat di Kampung Linau dan Km 100 Jalan Kota Kinabalu-Kudat di Kampung Timbang.

Jalan di Km 78.8 tidak boleh dilalui apa-apa kenderaan dan pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan jalan alternatif iaitu Jalan Sangkir 2, manakala Km 100 tidak boleh dilalui kenderaan kecil, menurut kenyataan itu.

Kerja membina laluan sementara bagi Km 36.2 Jalan Tenom-Kuala Tomani yang runtuh pada Selasa lepas telah siap dan boleh dilalui kenderaan.

— BERNAMA

 

Related Articles

Stay Connected

156,558FansLike
2,116FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
Iklan

Latest Articles