Baik pulih laluan keretapi Tenom – Pangi siap dua bulan: Bung Moktar

KOTA KINABALU: Masalah kerosakan landasan Perkhidmatan Keretapi melibatkan laluan Tenom – Pangi dijangka dapat dipulihkan sepenuhnya dalam tempoh dua bulan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, ini disebabkan beberapa landasan tersebut dihanyutkan banjir serta hakisan tanah runtuh terutama di laluan di KM114 Rayoh, KM 124 serta KM130 Pangi.

Katanya, akibat masalah tersebut perkhidmatan laluan Tenom – Pangi terpaksa ditutup buat sementara waktu bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dapat dijalankan.

“Kita beri jaminan akan memantau sepenuhnya kerja-kerja pembaikan ini termasuk mencadangkan kepada kontraktor pelaksana untuk mewujudkan laluan sementara bagi membolehkan perkhidmatan keretapi dapat berfungsi seperti biasa.

“Kami memahami masalah penduduk kampung yang terjejas akibat perkhidmatan keretapi yang tidak berfungsi ini. Lagi pun keretapi merupakan satu-satunya laluan utama mereka,” katanya.

Bung Moktar berkata, Jabatan Kereta Api Negeri Sabah (JKNS) sudah menyediakan Troli Pemeriksaan ‘Inspection Troli’ (IT) di Stesen Rayoh dan Stesen Pangi bagi menggantikan perkhidmatan keretapi penumpang.

“Hanya troli pemeriksaan IT sahaja dibenarkan beroperasi melalui beberapa kawasan landasan yang itu rosak termasuk laluan asal ke KM134 dan KM135 sehingga ke Tenom.

“Kapasiti penumpang hanya sekitar enam hingga lapan penumpang sahaja. IT ini bersedia dijadikan sebagai pengangkutan penduduk bagi tujuan kes kecemasan sepanjang tempoh 24 jam,” katanya.

Bung Moktar berkata, ketika ini JKNS sedang berusaha untuk menambah bilangan IT di kawasan terjejas sekali gus akan beroperasi mengikut jadual perkhidmatan sedia ada melibatkan laluan Rayoh-Tenom dengan mematuhi Prosuder Standard Operasi (SOP) yang dibenarkan.

Baru-baru ini portal online SabahNewsToday pernah menyiarkan runggutan penduduk di Kampung Pangi Tenom yang terpaksa menggunakan ‘Motosikal Troli atau Troli Haram’ sebagai kenderaan utama mereka keluar ke pekan Tenom untuk membeli keperluan harian sekali gus memasarkan hasil tanaman mereka.

SabahNewsToday