KUALA LUMPUR: Datuk Seri Azmin Ali yang didakwa akan keluar Bersatu mengikuti jejak Datuk Zuraida Kamaruddin berikrar untuk kekal bersama parti itu bagi mencapai cita-cita membangunkan sebuah kerajaan bersih dan mengamalkan urus tadbir baik.
Menurut Menteri Kanan Perdagangan dan Industri itu, idealisme dan perjuangan Bersatu yang memelihara kedaulatan Melayu dan Islam serta menjaga masyarakat berbilang kaum dan agama adalah jati dirinya.
“Saya menghargai dan berterima kasih atas kenyataan Presiden Muhyiddin Yassin atas keyakinan dan kepercayaan beliau terhadap iltizam dan komitmen saya bersama Bersatu sebagai wadah politik dan perjuangan demi rakyat.
“Saya ingin menegaskan bahawa idealisme dan prinsip perjuangan Bersatu adalah jati diri saya,” katanya dalam laporan FMT hari ini.
Beliau yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu mengulas desas-desus dirinya dan Ahli Parlimen Batu Pahat, Rashid Hasnon akan meninggalkan parti mengikuti jejak Zuraida untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Zuraida adalah sekutu Azmin ketika berada dalam PKR dan kedua-duanya merupakan antara penggerak utama Langkah Sheraton sehingga menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada 2020.
Mereka kemudiannya menyertai Bersatu dan dilantik dalam Jemaah Menteri di bawah pentadbiran Muhyiddin dan Ismail Sabri Yaakob. Bagaimanapun pada 26 Mei lalu, Zuraida mengumumkan keluar Bersatu.
Dalam kenyataan itu, Azmin turut memuji Muhyiddin yang didakwanya berjaya meletakkan Malaysia di landasan kukuh untuk pulih daripada krisis Covid-19 ketika menjadi perdana menteri.
Menurutnya, antara langkah diperkenalkan termasuk pakej rangsangan ekonomi dan pelaksanaan program vaksinasi besar-besaran.
“Malaysia diiktiraf sebagai berjaya mengurus pandemik dengan efektif dan bertanggungjawab.
“Kebijakan yang mesra perniagaan telah berjaya mencipta pekerjaan dan kemakmuran untuk rakyat sekali gus merancakkan aktiviti perniagaan dan pelaburan pasca pandemik,” katanya.