Australia beri perhargaan kepada Tham, kaji laluan maut Sandakan-Ranau

Tham Yau Kong

KOTA KINABALU: (Bernama) Suruhanjaya Tinggi Australia di Malaysia memberikan penghargaan kepada tokoh tempatan Tham Yau Kong atas sumbangannya mengkaji dan menjejaki laluan Kawad Maut Sandakan-Ranau pada zaman penjajahan tentera Jepun.

Tham, 60, yang juga Pengurus TYK Adventure Tours, berkata surat penghargaan ditandatangani pesuruhjayanya Andrew Goledzinowski bertarikh 29 April lepas itu disampaikan kepadanya oleh Konsul Kehormat Australia ke Sabah Datuk Andrew Sim baru-baru ini.

Beliau berkata surat itu memaklumkan penyelidikannya itu menimbulkan minat baharu terhadap bab sejarah ketenteraan Australia yang belum diterokai terutama perarakan paksa Sandakan-Ranau selain membantu memberi penerangan berharga mengenai peristiwa yang berlaku di Sabah semasa Perang Dunia Kedua.

“Surat itu juga menyebut kajian saya telah meningkatkan hubungan antara masyarakat serta ketenteraan Australia-Malaysia, mempromosikan hubungan dua hala, dan membantu mengekalkan memori dan keberanian wira-wira kita yang gugur serta sumbangan mereka terhadap pembebasan Malaysia.

“Laluan Kawad Maut Sandakan-Ranau bermula dari khemah tahanan Sandakan di Batu 8 dan berakhir di khemah tahanan Ranau dengan jarak keseluruhan 265km dan laluan ini mengambil masa 10 hari perjalanan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kawad Maut Sandakan-Ranau merupakan laluan yang digunakan tentera Jepun untuk memindahkan tahanan perang Australia dan Britain menyebabkan 2,428 tahanan perang terkorban semasa perarakan paksa itu pada tahun 1945.

Tham berkata beliau dilantik badan bukan kerajaan Sabah Society untuk mengenal pasti laluan itu berdasarkan peta yang dilukis oleh pasukan pencarian kubur perang pada tahun 1947 dan misi penjejakan laluan tersebut bermula pada tahun 2005 hingga 2006.

“Maklumat mendalam yang diperincikan oleh penduduk kampung adalah sumber utama dalam mengesan laluan Kawad Maut Sandakan-Ranau…bukti peninggalan perang ada di Hutan Lolosing merupakan kawasan larangan kerana dijadikan tempat pembuangan peluru tentera Jepun,” katanya.

Beliau berkata laluan perang bersejarah Sandakan-Ranau itu dibuka secara rasmi pada Mac 2006 dan didokumentasikan oleh ABC Channel Nine iaitu rangkaian televisyen Australia.

Tham berharap laluan itu dapat dipromosi sebagai sebuah produk pelancongan agar Sabah menjadi lebih terkenal daripada sektor pelancongan bersejarah yang mampu menarik pelancong dari Australia dan Britain.

“Penduduk tempatan kurang berminat dengan pelancongan bersejarah berbanding dengan pelancong Australia dan Britain terutama dalam kalangan anggota tentera yang gemar menerokai laluan tersebut,” katanya.

Tambahnya, beliau turut berasa bertuah dapat berpeluang menunjukkan secara peribadi sebahagian laluan asal kawad maut itu kepada Goledzinowski semasa lawatannya ke Sabah pada 15 Ogos tahun lepas sempena Hari Peringatan Sandakan.

SabahNewsToday

Leave a Reply