AMS Trust raikan golongan Asnaf dalam Majlis Iftar & Ziarah Kasih Ramadan

LABUAN: AMS Trust Company Limited (AMSTrust) meneruskan amalan tradisnya dengan menyantuni 10 keluarga asnaf terpilih di beberapa buah kampung untuk menyalurkan sumbangan menerusi Program Ziarah Kasih Ramadan dan seterusnya diraikan dalam Majlis Iftar Ramadan.

Menurut Pengerusi AMS Trust, Azizan Mohd Som, program ziarah Kasih Ramadan yang merupakan program tradisi Tanggungjawab Korporat Sosial (CSR) sejak 11 tahun yang lalu bagi membantu golongan warga yang kurang berkemampuan seperti warga emas, ibu tunggal dan keluarga kanak-kanak yang mengidap penyakit kronik.

Beliau berkata, setiap keluarga menerima sumbangan berupa barang keperluan harian dan wang tunai RM1,000 untuk persediaan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Selain itu mereka ini kita raikan dalam Majlis Iptar Ramadan setiap kali menjelanngya bulan Ramadan sambil itu kita juga menghulurkan duit raya kepada golongan istimewa ini,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Iftar dan Ziarah Kasih Ramadan AMT Trust yang di sini, semalam.

Pada majlis itu, AMS Trust juga turut menyampaikan sumbangan kepada tiga buah badan bukan kerajaan (NGO) terdiri Persatuan Penasihat Kewangan Islam Sabah menerima sumbangan RM2,000, manakala Masjid Munawwarah Hulu Langat Selangor dan Masjid Al-Muzakirullah Kampung Lubuk Temiang masing- masing menerima RM3,000.

Turut hadir untuk sama sama menyampaikan sumbangan duit raya pada majlis itu, Pengerusi Dewan Perdagangan Islam Malaysia Labuan Datuk Wira Dr Ramli Tahir, Pengasas Cahayapack (M) Sdn. Bhd Datuk Gapilin Nasaruddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Ujana Kewangan Labuan Johari Mesar.

Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Anuar Shamsudin dan Pengarah Eksekutif AMSTrust Rita Sharif.

AMSTrust adalah merupakan sebuah Syarikat Amanah berlesen di bawah kawal-selia Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) dan telah beroperasi sejak 2013, dan telah membantu banyak syarikat dari dalam dan luar negara untuk menubuhkan entiti luar pesisir di Labuan.