AMK Sabah sasar tiga kerusi DUN

KOTA MARUDU : Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, menyasarkan untuk meletakkan sekurang-kurangnya tiga calon dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17).

Ketua AMK Sabah, Zaidi Jatil berkata, pihaknya berhasrat untuk meningkatkan bilangan wakil rakyat dalam kalangan anak muda.

Zaidi Jatil

Katanya, ia bertujuan bagi memastikan suara masyarakat luar bandar dan belia dapat dibawa dengan lebih berkesan di Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Saya telah menyampaikan kepada pucuk pimpinan parti, khususnya Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) dan juga pimpinan AMK di peringkat pusat, bahawa sasaran kita adalah bertanding dan menang.

“Sekurang-kurangnya, kita mahukan tiga orang calon daripada AMK Keadilan Sabah untuk bertanding pada PRN akan datang,” katanya dalam sidang media sempena Forum dan Pelancaran Manifesto 157 Pasukan Penyatuan Keadilan, di sini.

Menurutnya, AMK Sabah mahu lebih ramai golongan anak muda menjadi pemimpin dan wakil rakyat di Sabah.

Selain itu katanya, peranan kita juga adalah untuk menjadi mekanisme semak dan imbang serta membawa suara anak muda dan masyarakat luar bandar ke sidang DUN.

Pada masa yang sama, Zaidi yang turut menawarkan diri sebagai calon Ketua Cabang PKR Kota Marudu dalam pemilihan kali ini menegaskan bahawa AMK Sabah sedang membawa gagasan politik berteraskan idealisme dan nilai dalam kalangan ahli parti.

Katanya, pendekatan itu beliau mengatasi politik berasaskan populariti semata-mata, sebagai langkah memperkasa masa depan politik negeri.

“Gagasan ini menekankan kepentingan mengangkat politik idealisme dan nilai supaya parti terus berkembang dan semakin kukuh.

“Apabila anggota parti, khususnya AMK, memiliki idealisme yang jelas serta pemahaman yang betul tentang perjuangan reformasi dan penubuhan Keadilan, mereka akan lebih memahami erti perjuangan ini.

“Sudah tentu pemimpin akan silih berganti, namun yang paling penting adalah memastikan idealisme dan pemahaman perjuangan parti terus kukuh dalam kalangan anggota,” katanya.

Pada Selasa, satu majlis Forum dan Pelancaran Manifesto 157 Pasukan Penyatuan Keadilan sempena pemilihan PKR Cabang Kota Marudu telah diadakan di Marudu Inn, Kota Marudu.

Turut hadir dalam majlis tersebut Ketua AMK Sabah, Zaidi Jatil, serta Pemangku Timbalan Ketua Cabang PKR Kota Marudu, Datuk Seri George Rumunsai.

Pemilihan PKR Cabang Kota Marudu sesi kepimpinan 2025-2028 bakal menyaksikan persaingan antara Zaidi, Sazalye Donol Abdullah, Jasmon Jaji, dan Jolius Majawai bagi mendapatkan posisi Ketua Cabang.