Aminah ikrar laksana tanggungjawab demi keutuhan UMNO

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching menyifatkan pelantikannya sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (AMKT) Umno sebagai satu penghargaan dan pengiktirafan yang tertinggi sekali gus memberi peluang kepadanya melaksanakan amanah untuk keutuhan parti itu.

Katanya, dengan itu, beliau berikrar akan melaksanakan amanah itu sehabis baik demi keutuhan Umno.

“Pada saya ini merupakan satu penghargaan dan pengiktirafan tertinggi kepada saya. Sudah tentu saya berjanji melaksanakan tugas yang diamanahkan sehabis baik demi memperkukuhkan Umno yang kita sayangi,” katanya dalam satu hantaran di facebook peribadinya, semalam.

Aminah yang juga Timbalan Menteri Perladangan dan Komiditi turut diberi mandat mengetuai sekretariat pertanian, perladangan dan komuniti parti tersebut.

Beliau merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Presiden Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi atas kepercayaan atas pelantikannya itu.

“Saya ucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada presiden parti kerana telah memberi ruang dan kepercayaan kepada saya atas pelantikan sebagai AMKT ini,” katanya.

Anggota Parlimen Beaufort itu juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua naib-naib presiden, ketua wanita, ketua pemuda, ketua puteri dan semua AMKT yang menang dalam pemilihan parti itu Sabtu lepas termasuk mereka yang turut dilantik sebagai AMKT dalam kepimpinan baharu parti itu.

Sebelum ini, Aminah merupakan bekas Timbalan Ketua Umno Bahagian Beaufort dan ketua wanita bahagian yang kemudian berjaya memenangi bagi kerusi Parlimen Beaufort dalam pilihan raya umum, baru-baru ini.

Sementara itu, ramai penyokong MP itu di Beaufort semalam mengalu-alukan pelantikan Aminah sebagai AMKT yang baharu dan berharap beliau dapat menggalas amanah tersebut untuk memperkasakan lagi parti itu.

“Ini merupakan satu penghargaan dan pengiktirafan terhadap kepimpinannya (Aminah) di Umno bahagian dan juga di Sabah,” katanya.