Air mata kasih iringi Dexter semasa serah sumbangan kepada anak yatim di Ranau

RANAU : Pengarah Eksekutif Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC), Datuk Dexter Lau, tidak mampu menahan air mata ketika menyampaikan sumbangan makanan kepada Rumah Anak Yatim dan Asnaf Kampung Silad di sini.

Dexter semasa ditemui mengharapkan agar kanak-kanak ini dapat mengecapi masa depan yang cerah dan berkembang menjadi individu yang baik, tabah, serta kuat.

“Diharapkan mereka akan kembali menyumbang kepada komuniti pada masa depan,” katanya.

Beliau diiringi oleh Gerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat)  Paginatan yang diketuai Datuk Amisah Yassin, membeli keperluan makanan harian di pasar raya Ranau sebelum menyerahkan sumbangan tajaan KTC ke rumah anak yatim dan asnaf.

Sebelum itu, KTC bersama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Negeri Sabah, menganjurkan Program Shopping Raya sempena Jelajah Iftar 2025 yang mana Ranau menjadi destinasi ke-11 program berkenaan.

Dalam program terbabit, seramai 50 kanak-kanak dari Ranau dibawa membeli pakaian raya di pekan Ranau sebagai pengisian bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Setiap kanak-kanak terbabit menerima RM200 bagi membeli baju dan kasut raya.

Dalam pada itu, Amisah mengucapkan terima kasih kepada UPPM dan KTC dengan usaha dan  kemurahan hati menyediakan peluang kepada kanak-kanak untuk membeli pakaian raya, serta membantu golongan yang memerlukan.

Beliau berharap inisiatif ini dapat memberikan kegembiraan kepada kanak-kanak dalam meraikan Hari Raya.

“Program kebajikan seperti ini amat bermanfaat dan diharapkan dapat diteruskan pada tahun depan,” katanya.

Hadir sama Pengarah UPPM Negeri Sabah Datuk Awang Kadin, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Datuk Redonah Bahanda, Datuk Aziah Atoh serta pemimpin-pemimpin tempatan, wakil KTC dan pegawai UPPM.