KOTA KINABALU: Tindakan bekas Ketua Penerangan Warisan Sepanggar, Mohd Salleh Abdullah meninggalkan parti dilihat tidak memberi kesan besar kepada ahli Parti Warisan Sabah di Bahagian Sepanggar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Darau, Azhar Matussin berkata setakat ini dilihat hanya Mohd Salleh Abdullah bersama seorang AJK Penerangan meninggalkan Warisan Sepanggar manakala selebihnya masih kekal bersama Parti Warisan Sabah (PWS).
Katanya, ahli Warisan Sepanggar tetap teguh bersama pucuk pimpinan parti diketuai Presidennya, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Afdal serta barisan kepimpinan di peringkat bahagian Sepanggar.
“Kami sedih serta terkilan dengan keputusan yang diambil, kerana selama ini kami di Warisan Bahagian Sepanggar sudah memberi sokongan tidak berbelah bagi kepadanya selaku pemimpin di peringkat Bahagian.
“Kita juga tidak menyangka Salleh akan meninggalkan Warisan Sepanggar dalam keadaan ketika ini bersusah payah dalam mengharungi perjuangan selaku parti pembangkang khususnya di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media dikeluarkan hari ini.
Azhar yang juga Bendahari Warisan Sepanggar merangkap Ahli Majlis Tertinggi (AMT) berkata, pihaknya akan menggerakkan jentera khususnya Ahli Jawatankuasa penerangan peringkat bahagian untuk memberi penerangan berkaitan keadaan situasi semasa politik di peringkat akar umbi.
“Kita sahkan di sini hanya Mohd Salleh Abdullah bersama seorang AJK yang meninggalkan Warisan Bahagian Sepanggar.
“Kita tetap teguh pendirian untuk memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepada pucuk pimpinan bahagian serta di peringkat negeri,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Penerangan Bahagian Sepanggar, Johari Marpi, setakat ini saya masih menjalankan tugas selaku Timbalan Ketua Penerangan Warisan Sepanggar sementara menanti pelantikan ketua penerangan baharu yang akan diumumkan oleh Ketua Bahagian, Datuk Mohd Azis Jaman dalam tempoh terdekat.
“Kita ucapkan selamat maju jaya kepada Mohd Salleh Abdullah. Sambil kita ucapkan ribuan terima kasih atas sumbangannya dalam Parti Warisan Sabah terutama di Bahagian Sepanggar selama ini.
“Kita akan terus memperkasakan lagi ahli Warisan di Bahagian Sepanggar dalam tempoh terdekat,” katanya.
Johari berkata, setakat ini Warisan Bahagian Sepanggar masih kekal bersama pucuk pimpinan sedia ada serta bersemangat berusaha untuk memperkukuhkan perjuangan parti menjelang Pilihanraya Umum ke -15 akan datang.
“Kita sangat yakin ahli Warisan khususnya di Bahagian Sepanggar masih kekal memberikan sokongan padu kepada perjuangan asal parti ini sekali gus tidak mudah terpedaya dengan pujukan daripada mana-mana pihak yang ingin mempengaruhi mereka,” katanya.