Ahli perniagaan ditahan terima rasuah RM6,000 dapatkan darjah kebesaran Negeri Pahang

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk kerana dipercayai menipu seorang lelaki sehingga mendorongnya untuk membayar wang rasuah kira-kira RM6,000.

Menurut sumber, ia bertujuan kononnya sebagai balasan bagi membantu mendapatkan darjah kebesaran negeri Pahang.

“Suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan  sekitar 12 tengah hari, ketika hadir di Pejabat SPRM Sabah bagi dirakam keterangan.

“Siasatan awal mendapati, suspek sekitar 2023, disyaki telah menawarkan untuk membantu pengadu mendapatkan darjah kebesaran bergelar Datuk dari negeri Pahang sedangkan tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurutnya lagi, suspek secara tidak jujur telah mendorong pengadu memindahkan wang kira-kira RM6,000 bagi pembelian aksesori baju istiadat konon  bertujuan untuk mendapatkan darjah kebesaran berkenaan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan mengenai tangkapan terhadap suspek dan berkata suspek bagaimanapun dilepaskan selepas membayar deposit tunai RM5,000 daripada RM10,000 wang jaminan yang dikenakan ke atasnya.

Katanya, suspek akan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu pada Khamis ini di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.