622 ayam sabung dirampas babitkan nilai lebih RM3 juta

TAWAU : Lima lelaki ditahan dipercayai terlibat dalam kegiatan ‘Sabung Ayam’ di dua lokasi berasingan membabitkan nilai rampasan dianggarkan mencecah RM3.28 juta pada 18 Julai lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Polis Diraja Malaysia, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, serbuan pertama membabitkan empat lelaki iaitu dua warga Indonesia manakala dua lagi warga Filipina berusia antara 31 hingga 52 tahun.

Katanya, pihaknya merampas 470 ekor ayam sabung baka dipercayai dari Negara Filipina, 40 bilah pisau taji ayam, 130 kotak, 50 botol pelbagai jenis vitamin serta 500 unit sangkar kecil ayam sabung.

“Serbuan kedua dilakukan di sebuah rumah di Kampung Membalua, Jalan Apas, Tawau yang membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun bersama 152 ekor ayam sabung hidup dipercayai diseludup dari Filipina.

“Siasatan awal mendapati kes ini melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Enakmen Haiwan 2015 kerana mengimport haiwan tanpa lesen serta melanggar Akta Imigresen 1959/63 kerana menggaji dan bekerja tanpa permit sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azmi berkata, kesemua suspek didapati melakukan kesalahan memiliki bilah pisau dipercayai taji ayam di bawah Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

“Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) oleh Wildlife  Crime Bureau/ Perisikan Siasatan Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenterman Awam dijalankan pada 18 Julai lalu sekitar jam 2.30 petang.

“Operasi ini dilaksanakan bagi membanteras kegiatan perjudian sabung ayam yang masih aktif di beberapa kawasan di Sabah,” jelas Azmi.