Ahli Parlimen hilang kerusi jika lompat parti, tukar jadi Bebas

PUTRAJAYA: Mana-mana Ahli Parlimen yang melompat dari parti diwakilinya ketika pilihan raya ke parti lain atau bertukar menjadi Ahli Parlimen Bebas, boleh kehilangan kerusi masing-masing selepas akta baharu berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti dikuatkuasakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata Ahli Parlimen Bebas yang memilih untuk menyertai mana-mana parti politik juga boleh kehilangan kerusi melalui akta sama.

Beliau berkata demikian ketika mengulas akta baharu itu yang dijangka dibentangkan melalui sidang khas di Dewan Rakyat seawal Julai depan, sebelum dapat dikuatkuasakan paling awal Januari 2023.

Katanya, akta itu nanti antara lain merangkumi perkara membabitkan kriteria yang boleh menyebabkan sesebuah kerusi Parlimen itu kosong.

Bagaimanapun beliau memaklumkan, sekiranya Ahli Parlimen itu dipecat oleh parti, mereka masih boleh mengekalkan kedudukan masing-masing di kerusi yang dimenangi dalam pilihan raya.

“Selepas RUU (Rang Undang-undang) itu diluluskan nanti, individu yang melepaskan jawatan atau ditamatkan atas sebab lompat parti akan boleh bertanding semula serta-merta di kerusi yang dikosongkan itu tanpa perlu menunggu lima tahun.

“Semangat daripada itu ialah mandat rakyat. Mereka boleh kembali kepada kawasan sama untuk bertanding supaya rakyat boleh menghakimi mereka, sama ada layak menjadi wakil atau tidak.

“Bagaimanapun ia masih tertakluk jika individu terbabit hilang kelayakan berdasarkan kepada peruntukan undang-undang pilihan raya sedia ada,” katanya dalam laporan Berita Harian ketika sidang media bersama beberapa agensi media, di sini, semalam.

Sementara itu Wan Junaidi berkata, peruntukan sedia ada dalam Perlembagaan Persekutuan akan turut dipinda iaitu Perkara 10 berhubung kebebasan berpersatuan, Perkara 48 iaitu kehilangan kelayakan Ahli Parlimen dan Perkara 160 berkenaan taksiran parti politik dan Jadual Lapan iaitu bidang kuasa negeri membabitkan ruang kepada kerajaan negeri memperkenalkan undang-undang lompat parti.

“Kita juga akan menggubal satu peruntukan baharu iaitu Perkara 49 yang akan memasukkan butiran dan proses berlaku selepas Ahli Parlimen melompat parti,” katanya.

Wan Junaidi berkata, sebaik Yang Dipertua Dewan Rakyat mengetahui mengenai tindakan Ahli Parlimen melompat parti, beliau perlu membuat pengesahan sebelum memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai kekosongan kerusi.

Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata akta baharu itu akan dibentangkan apabila Mesyuarat Kedua Dewan Rakyat Penggal Kelima bermula 18 Julai nanti, bagaimanapun tarikh berkenaan terpulang kepada keputusan kerajaan.

Mengulas lanjut, katanya Jawatankuasa Pilihan Khas berhubung pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti melalui mesyuarat sebelum ini, memberi penekanan supaya Rang Undang-undang (RUU) itu dibahaskan pada sidang khas Parlimen bulan depan.

“Apa yang penting apabila RUU itu dibentangkan kelak, sidang berkenaan dapat dihadiri semua menteri Kabinet dan Ahli Parlimen bagi membolehkan undi dua pertiga diperoleh sekali gus membolehkan ia diluluskan.

“Ketika ini Perdana Menteri dan beberapa Menteri Kanan berada di Jepun menghadiri Persidangan Nikkei dijadual hingga esok.

“Selain itu beberapa menteri termasuk Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berada di luar negara atas tugasan rasmi, manakala ada Ahli Parlimen bercuti di luar negara,” katanya.

Wan Junaidi berkata sidang khas berkenaan tidak boleh diadakan pada Jun berikutan jadual padat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.