Lelaki dicekup curi pakaian dalam wanita

TAWAU: Tindakan seorang lelaki warga asing dipercayai mencuri pakaian dalam wanita yang dijemur di luar rumah membawa padah apabila dia diberkas polis dalam serbuan di Kampung Haji Matahir, di sini, malam semalam.

Dalam kejadian awal bulan ini, mangsa lelaki berusia 47 tahun menyedari beberapa helai pakaian dalam milik isterinya yang dijemur di luar rumah hilang sebelum membuat laporan di Balai Polis Bombalai.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, hasil risikan dan siasatan dijalankan, polis berjaya mengesan serta menahan suspek warga asing berusia lingkungan 20-an kira-kira jam 10.30 malam di hadapan sebuah rumah di Kampung Haji Matahir.

Beliau berkata, hasil soal siasat awal membawa polis ke lokasi barang kes sebelum beberapa helai pakaian dalam wanita berjaya ditemui dan dirampas di dalam rumah suspek serta di kawasan semak berhampiran.

“Turut dirampas ialah sehelai baju berwarna hijau dan sebuah songkok hitam yang dipercayai dipakai suspek ketika melakukan perbuatan berkenaan.

“Siasatan turut mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Beliau berkata, polis turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan kediaman serta segera menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang perlakuan atau aktiviti mencurigakan.

Katanya, kerjasama masyarakat amat penting bagi membantu polis membanteras jenayah dan memastikan keselamatan komuniti sentiasa terpelihara.