ADUN Silam gesa tindakan berani tamatkan isu komuniti Pala’u

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri digesa melaksanakan tindakan berani dan menyeluruh bagi menamatkan isu komuniti Pala’u di Lahad Datu yang telah sekian lama membelenggu Pantai Timur Sabah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Silam, Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, isu membabitkan komuniti Pala’u, gelandangan, penagihan dadah serta kanak-kanak yang menghidu gam dan meminta sedekah tidak boleh lagi dianggap sebagai masalah bermusim.

Beliau menegaskan penyelesaian sebenar perlu dimulakan dengan pelaburan dalam pendidikan melalui sekolah transisi atau hab literasi, selain memperkasakan latihan kemahiran berdasarkan kebolehan semula jadi komuniti itu dalam bidang kelautan, navigasi dan pertukangan bot.

Katanya, penyelesaian yang mampan bukan sahaja mampu mengangkat martabat komuniti Pala’u, malah memperkukuh keselamatan, keharmonian sosial dan imej Lahad Datu sebagai antara pusat pertumbuhan ekonomi di Pantai Timur Sabah.