KOTA KINABALU: Pengguna jalan raya menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap kenderaan yang diparkir di bahu jalan dan didakwa menjadi punca kesesakan di Jalan Bukit Padang.
Mereka mendakwa masalah itu berlaku hampir setiap hari di laluan dari Bulatan Taman Tun Fuad hingga ke simpang menuju Makmal Kesihatan Awam dan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Kota Kinabalu, terutama pada waktu awal pagi dan lewat petang.
Menurut pengguna, parkir di bahu jalan menyukarkan aliran trafik selain menjejaskan pergerakan kakitangan yang berulang-alik ke tempat kerja serta bas yang membawa pelajar kolej latihan kejururawatan.
Seorang pengguna berkata aduan telah dikemukakan kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), namun dimaklumkan kawasan berkenaan berada di bawah bidang kuasa Majlis Daerah Penampang (MDP).
“Sampai bila tindakan akan diambil? Bas kolej latihan kejururawatan pun sukar keluar pada waktu pagi kerana kenderaan diparkir di bahu jalan,” katanya.
Pengguna berharap pihak berkuasa berkaitan dapat menyelaras tindakan penguatkuasaan bagi memastikan masalah itu dapat diselesaikan.
