KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah komited memastikan pelaksanaan subsidi diesel bersasar terus diperkemas supaya memberi manfaat optimum kepada rakyat serta tidak menjejaskan pertumbuhan ekonomi negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri sedang mengadakan libat urus bersama Kementerian Kewangan Malaysia (MoF) dan agensi Persekutuan bagi meneliti mekanisme penambahbaikan pelaksanaan subsidi berkenaan.
Beliau berkata, perkara itu turut diberi perhatian dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 13 Julai sebelum satu lagi mesyuarat susulan diadakan pada 17 Julai di bawah pengerusi Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah.
Menurutnya, kerajaan negeri mahu setiap dasar yang dilaksanakan mengambil kira keunikan Sabah termasuk keluasan geografi, cabaran logistik dan struktur ekonomi negeri.
Katanya, kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan akan diteruskan bagi memastikan pelaksanaan subsidi diesel bersasar lebih efektif, sekali gus melindungi kebajikan rakyat serta menjamin kelangsungan aktiviti ekonomi di Sabah.
