KOTA KINABALU: Hospital Sandakan memerlukan peningkatan menyeluruh dari segi kemudahan, peralatan dan infrastruktur bagi memastikan perkhidmatan kesihatan yang lebih selesa kepada pesakit serta persekitaran kerja yang lebih baik untuk petugas kesihatan.
Seorang penduduk Sandakan yang berkongsi pengalaman secara anonim berkata, beliau menyaksikan petugas kesihatan menjalankan tugas dengan penuh dedikasi ketika membawa ahli keluarganya ke Unit Kecemasan hospital berkenaan baru-baru ini.
Bagaimanapun, beliau mendakwa kemudahan sedia ada seperti kekurangan katil, keadaan peralatan serta infrastruktur yang semakin uzur memerlukan perhatian segera.
Beliau berharap kerajaan dapat menyalurkan lebih banyak peruntukan bagi menaik taraf Hospital Sandakan agar jurang kemudahan dengan hospital lain dapat dikurangkan.
