Ghazali mahu Taginambur Glamping jadi platform lahir pemimpin muda

KIULU: Taginambur Glamping 2026 perlu dijadikan platform melahirkan generasi muda yang berdaya tahan, berdisiplin dan memiliki nilai kepimpinan sebagai persediaan menghadapi cabaran masa depan.

Datuk Mohammad Ghazali Hajiji berkata, aktiviti kokurikulum bukan lagi sekadar pelengkap pendidikan, sebaliknya menjadi komponen penting dalam membentuk karakter serta kemahiran insaniah murid.

Menurutnya, konsep glamping yang diperkenalkan berjaya mengubah persepsi terhadap perkhemahan dengan menawarkan pendekatan lebih kreatif tanpa mengabaikan objektif pembinaan sahsiah.

Beliau berkata, penyertaan sekolah dari Sabah, Sarawak dan Johor menunjukkan program itu semakin diyakini sebagai platform pembangunan kepimpinan murid di peringkat nasional.

Katanya, beliau berharap Taginambur Glamping dijadikan acara tahunan dan diperluaskan ke seluruh negara.