KK Greenovation 2026 perkasa kesedaran inovasi hijau

KOTA KINABALU: Program Kemampanan Komuniti Bandar (PKKB): Karnival KK Greenovation 2026 menjadi platform meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan inovasi hijau dan pemeliharaan alam sekitar.

Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Sabin Samitah berkata, program itu menyokong aspirasi Kota Kinabalu sebagai bandar pintar dan bandar rendah karbon, di samping menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup lestari.

Beliau berkata, pelbagai aktiviti diadakan termasuk penanaman pokok, pameran teknologi hijau, demonstrasi Internet of Things (IoT), pertandingan Jingle AI, Green Footprint TikTok Challenge dan bengkel pendidikan.

Menurutnya, program itu diharap dapat melahirkan komuniti yang lebih peka terhadap kelestarian alam sekitar serta membudayakan inovasi dalam kehidupan seharian.