Julita mahu 560 doktor kekal berkhidmat di Sabah

KOTA KINABALU: Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki menyambut baik pengumuman Kementerian Kesihatan (KKM) menawarkan 560 jawatan tetap Pegawai Perubatan di Sabah, namun menegaskan usaha mengekalkan mereka di negeri ini perlu menjadi keutamaan.

Beliau berkata, pengambilan pegawai baharu sahaja tidak mencukupi sekiranya tiada langkah berkesan bagi memastikan mereka terus berkhidmat, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Menurutnya, kerajaan perlu memperkukuh insentif termasuk Bayaran Insentif Wilayah (BIW), meningkatkan sokongan kepada petugas di pedalaman serta menyediakan persekitaran kerja yang kondusif.

“Pengambilan kakitangan penting, tetapi pengekalan mereka sama penting bagi memastikan rakyat Sabah terus menerima perkhidmatan kesihatan berkualiti,” katanya.