351 PATI warga Indonesia, Filipina dihantar pulang

TAWAU: Seramai 351 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dan Filipina dihantar pulang ke negara asal masing-masing menerusi Program Pemindahan Tahanan PATI Siri 7/2026 yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah.

Pemindahan itu membabitkan 213 warga Indonesia melalui Pelabuhan Tawau ke Nunukan dan 138 warga Filipina melalui Pelabuhan Lahad Datu ke Bongao, Tawi-Tawi.

Menurut JIM Sabah, semua tahanan telah selesai menjalani hukuman dan memiliki dokumen perjalanan yang sah sebelum dihantar pulang.

Sehingga kini, sebanyak 3,990 PATI berjaya dipindahkan ke negara asal masing-masing.

JIM Sabah menegaskan tindakan tegas akan terus diambil terhadap majikan atau individu yang melindungi serta menggaji PATI tanpa dokumen sah.