KOTA KINABALU: Dua beradik, Khayr Akhtar Ummar Ariff dan Muhammad Yahya Ummar Ariff terus membuktikan kemampuan mereka apabila mencatat keputusan cemerlang pada Kejohanan Golf Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2026 yang berlangsung di Sabah, baru-baru ini.
Muhammad Yahya muncul juara kategori lelaki bawah 12 tahun, manakala abangnya, Khayr Akhtar menamatkan saingan dalam kelompok lapan terbaik kategori lelaki bawah 15 tahun.
Kejohanan yang berlangsung di Sutera Harbour Golf & Country Club, Sabah Golf & Country Club serta Nexus Golf Resort Karambunai dari 7 hingga 12 Jun itu menyaksikan kedua-dua pemain muda berkenaan meneruskan rentak cemerlang selepas turut mengungguli kategori masing-masing pada MSS Sabah, Mei lalu.
Muhammad Yahya turut membantu pasukan Sabah meraih kedudukan keempat acara berpasukan lelaki bawah 12 tahun.
Beliau berkata, kejayaan itu menjadi motivasi untuk terus meningkatkan prestasi dan membawa nama Sabah ke peringkat lebih tinggi.
“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan keputusan ini. Saya berharap dapat mengekalkan momentum dalam kejohanan akan datang.
“Saya akan menyertai kejohanan di Miri bulan depan, manakala abang akan beraksi di Jakarta. Kami berharap dapat terus mengharumkan nama Sabah,” katanya.
