KOTA KINABALU: Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian seorang pelajar perempuan dipukul beramai-ramai seperti video yang tular di media sosial sejak semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman berkata, laporan dibuat mangsa sendiri yang berusia 13 tahun pada 23 Mei lalu.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 8 pagi pada 22 Mei di sekitar Kota Kinabalu membabitkan lima pelajar perempuan.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa dipukul menggunakan tangan sehingga mengalami lebam pada kedua-dua bahu dan kaki, selain lebam di telinga kiri serta luka kecil pada lutut,” katanya dalam kenyataan media.
Beliau berkata, semua suspek dan mangsa dipercayai saling mengenali melalui kumpulan WhatsApp dikenali sebagai “Angel”.
Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
